Ibu Bapa Dan Masyarakat Perlu Main Peranan

BESUT : Penyertaan dan sokongan seluruh lapisan masyarakat, terutama ibu bapa mampu meningkatkan pendidikan dan  kesedaran umum terhadap pencegahan lebih awal dalam menangani masalah penyalahgunaan dadah di negara ini.

Yang DiPertua Persatuan Pengasih Malaysia (PENGASIH), Mohd Yunus Pathi Mohd berkata, , ibu-bapa, keluarga serta masyarakat, menjadi faktor yang penting untuk membantu mana-mana individu tersebut membuat perubahan diri melalui pengalaman, pengetahuan dan maklumat yang mereka ada.

“Justeru itu ibu bapa ataupun masyarakat amnya perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan dan maklumat tentang dadah, profil penagihan dan akibat daripada gejala itu, bagi memberi kesedaran dan bimbingan kepada anak-anak remaja masakini tentang bahaya dadah,” katanya dalam program seminar “Kenali Anak Kita” di Institut Pendidikan Guru, Kampus Sultan Mizan Zainal Abidin di sini, hari ini.

Mohd Yunus berkata, untuk melengkapkan diri dengan pengetahuan itu, ibu bapa dan anggota masyarakat perlu menghadiri seminar, bengkel dan aktiviti seperti ini bagi mendapatkan sumber rujukan dan pencegahan lebih awal sebelum wabak ini menjadi lebih serius dan tidak terkawal.

“Program yang dianjurkan Pengasih dengan kerjasama PETRONAS ini adalah bertujuan untuk pengkongsian ilmu, pengalaman dan memberikan pendidikan kepada ibu bapa dan masyarakat tentang budaya social yang menyimpang,” katanya lagi.

Hampir 300 peserta yang terdiri daripada ibu bapa, pemimpin masyarakat dan para pelajar institusi pengajian tinggi hadir dalam seminar kali ini.

Turut hadir membentangkan kertas kerja dalam seminar ini ialah Dr Adibah Hanim Ismail dari Hospital Universiti Sains Malaysia dan penceramah dari Yayasan pembangunan Keluarga Terengganu.

Siri Seminar “Kenali Anak Kita” ini merupakan kesinambungan daripada Program Bual Bicara “Kenali Anak Kita” yang telah diadakan di negeri ini pada hujung tahun lepas.

Program ini dianjurkan Pengasih dengan sokongan syarikat minyak dan gas negara, Petronas. Kempen ini menjadikan ibu bapa sebagai kumpulan sasar dalam usaha memperkasakan mereka sebagai ajen perubahan di dalam institusi kekeluargaan.

Ia sejajar dengan teras tanggungjawab sosial korporat Petronas yang memberi penekanan terhadap pendidikan dalam usaha memperkasa dan memperkayakan masyarakat dengan pengetahuan dan kemahiran yang mampu mengubah kehidupan mereka. Petronas memberikan komitmen sebagai penaja kempen bagi tempoh dua tahun, bermula dari tahun ini sehingga 2011.

Selain PETRONAS, kempen ini turut mendapat kerjasama dan sokongan LPPKN; Kementerian Pelajaran Malaysia; Agensi Anti Dadah Kebangsaan; dan Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional.

Menurut Mohd Yunus lagi, Pengasih telah menggunakan kaedah ‘ Teraputik Komuniti (TK) ‘ di dalam program rawatan dan pemulihan sejak pada tahun 1993 lagi. TK adalah sekelompok manusia yang mempunyai permasalahan yang sama, merangsang antara satu dan lain untuk membuat perubahan (co-dependency).

“Kami melihat penagihan itu sebagai satu gejala penyakit dari gangguan emosi, saikologi, rohani dan tingkah laku.

Pendekatan yang digunakan dalam rawatan Pengasih bagi mengatasi gangguan-gangguan tersebut adalah – pembentukan semula tingkahlaku; pengendalian emosi dan saikologi; pengembangan fikiran dan kerohanian; serta latihan kemahiran vokasional dan sosial,” katanya.

You can leave a response, or trackback from your own site.

Leave a Reply

Powered by WordPress | Visit Bestincellphones.com for Cell Phone Offers. | Thanks to Internet Banking, Checking and Fat Burning Furnace Review