Jamal Abdillah Jaya Kempen Antidadah

Utusan Online

JITRA 21 Feb. – Lazimnya mereka hanya mengenali beliau melalui media massa yang memaparkan kehebatannya sebagai penyanyi tersohor. Semalam, mereka sama sekali tidak menyangka dapat bertemu secara live dengan penyanyi yang mempunyai vokal amat mengasyikkan, Jamal Abdillah.

Itu yang terjadi kepada penduduk di Kampung Permatang Bonglai, Tunjang dekat sini semasa program Kenali Anak Kita anjuran Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) dan Petronas di Sekolah Menengah Kebangsaan Permatang Bonglai.

Jamal hadir bagi menjayakan kempen yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir yang juga Ahli Parlimen Jerlun.

Kehadiran penyanyi itu jelas menggembirakan penduduk kampung berkenaan yang selama ini hanya mengenali Jamal melalui media massa.

Pada majlis itu, Jamal menyanyikan beberapa lagu bagi menghiburkan para peminatnya selain membantu Pengasih berkempen mengenai salah guna dadah.

Satu program yang dikenali sebagai Bualbicara Kenali Anak Kita turut diadakan yang disertai oleh Dr. Yahya Don daripada Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Khamsiah Ismail daripada Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan Yang Dipertua Pengasih, Mohd. Yunus Pathi.

Program Bualbicara itu menggunakan pendekatan pendidikan hiburan iaitu forum yang disertai hiburan dengan artis popular akan diundang bagi mengadakan persembahan sebagai daya tarikan.

Kempen tersebut menjadikan ibu bapa sebagai kumpulan sasar dalam usaha memperkasakan mereka sebagai ejen perubahan di dalam institusi keluarga.

Mengulas mengenai program itu, Mohd. Yunus berkata, remaja hari ini perlu ditanam dengan sikap bahawa dalam setiap situasi pasti ada pilihan yang akan membawa kebaikan atau sebaliknya.

Katanya, mereka mesti berani mengatakan ‘tidak’ terhadap perkara- perkara yang boleh mendorong ke arah perlakuan negatif.

“Keberanian itu akan menyelamatkan mereka dan dengan sendirinya akan membina kekuatan diri dan daya tahan daripada terjerumus kepada perkara yang membahayakan diri seperti penagihan dadah,” katanya.

You can leave a response, or trackback from your own site.

Leave a Reply

Powered by WordPress | Visit Bestincellphones.com for Cell Phone Offers. | Thanks to Internet Banking, Checking and Fat Burning Furnace Review