Suraya Roslan
bhkt@bharian.com.my
KUALA BERANG: “Disebabkan ketagihan pil kuda yang melampau, saya sanggup bertindak luar batasan memukul ibu dan bapa dengan batang kayu sehingga berdarah di dahi dan patah gigi. Walaupun mereka sudah memaafkan perbuatan itu, rasa kesal tidak boleh lenyap dari diri saya, malah dosa itu sentiasa menghantui hidup sehingga kini,” kata remaja yang menjadi mangsa gejala sosial liar dan hanya mahu dikenali sebagai Amin.
Remaja berusia 15 tahun itu mengakui ketagihan pil kuda menyebabkan dia panas baran sehingga sanggup mencederakan ahli keluarga sekiranya permintaannya tidak dipenuhi, terutama ketika dia memerlukan wang untuk mendapatkan bekalan bahan terlarang itu.
Menceritakan detik hitam itu, Amin yang pernah bekerja di sebuah bengkel, berkata dia mula terjebak dalam kancah penagihan itu selepas ditawarkan pil itu oleh sepupu lelakinya yang berusia 30-an dan dia yang pada mulanya menyangka pil itu hanya sebiji panadol terus mencuba.
“Apabila saya cuba, memang rasa sangat ‘best’… saya boleh layan kepala hingga saya rasa tidak boleh hidup tanpa pil kuda. Dua tahun saya menghambakan diri pada benda haram ini hingga lupa pada tanggungjawab sebagai pelajar dan anak yang perlu menghormati ibu bapa.
“Saya akan makan dua biji pil kuda itu setiap hari dan selama dua tahun duit gaji saya banyak dihabiskan dengan membeli pil kuda ini yang berharga RM25 sebiji,” kata remaja yang juga anak kedua dari enam beradik itu.

Posted in 
