Syarikat Kerajaan Perlu Sokong PENGASIH

JITRA : Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa Dato’ Mukriz Tun Mahathir menyarakan supaya syarikat-syarikat kerajaan (GCL) dan pihak korporat agar berkerjasama dengan Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) dalam mengiatkan aktiviti kemasyarakatan yang telah diatur oleh pertubuhan terbabit.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jerlun berkata, usahasama Petronas dengan Pengasih dalam menjayakan program “Kenali Anak Kita” yang diadakan di seluruh Semenanjung Malaysia adalah sesuatu yang harus dipuji sebagai satu tanggungjawab sosial.

“Saya berharap lebih ramai lagi anak syarikat kerajaan dan pihak korporat menyambut langkah baik sepertimana yang dimainkan oleh Petronas itu dalam membantu pertubahan seperti Pengasih menggerakkan aktiviti mereka,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran program “Bual Bicara – Kenali Anak Kita” di Sekolah Menengah Kebangsaan Permatang Bonglai, dekat sini, baru-baru ini.

Program ini dianjurkan Pengasih dengan sokongan syarikat minyak dan gas negara, Petronas. Kempen ini menjadikan ibu bapa sebagai kumpulan sasar dalam usaha memperkasakan mereka sebagai ajen perubahan di dalam institusi kekeluargaan.

Ia sejajar dengan teras tanggungjawab sosial korporat Petronas yang memberi penekanan terhadap pendidikan dalam usaha memperkasa dan memperkayakan masyarakat dengan pengetahuan dan kemahiran yang mampu mengubah kehidupan mereka. Petronas memberikan komitmen sebagai penaja kempen bagi tempoh dua tahun, bermula dari tahun ini sehingga 2011.

Selain PETRONAS, kempen ini turut mendapat kerjasama dan sokongan LPPKN; Kementerian Pelajaran Malaysia; Agensi Anti Dadah Kebangsaan; dan Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional.

Sementara itu, Yang DiPertua Pengasih, Mohd Yunus Pathi menyeru agar remaja dan para pelajar agar menjauhi aktiviti yang cenderung ke arah gejala tidak sihat seperti pengambilan daun ketum dan menghidu gam.

“Menghidu gam dan menyalahgunakan daun ketum kini menjadi satu budaya penagihan yang semakin kronik di negara kita. Ianya turut mendatangkan kesan bahaya dan buruk ke atas kesihatan dan fungsi sosial,” katanya lagi.

Menurut Mohd Yunus , impak penggunaan daun ketum, gam dan juga pil khayal turut menyebabkan pergantungan fisikal dan psikologikal sama seperti jenis-jenis dadah yang lain, malah kesannya lebih teruk daripada dadah-dadah konvensional yang telah lama digunakan.

Beliau seterusnya mendesak agar kerajaan mengkaji semula serta meminda Akta Dadah Merbahaya supaya hukuman setimpal dikenakan terhadap penagih daun ketum, penghidu gam dan pengguna pil-pil khayal.

Kempen Kenali Anak Kita kali ini merupakan siri ketujuh, selepas Kuala Lumpur, Selangor, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pulau Pinang, sejak ianya bermula pada tahun lepas.

You can leave a response, or trackback from your own site.

Leave a Reply

Powered by WordPress | Visit Bestincellphones.com for Cell Phone Offers. | Thanks to Internet Banking, Checking and Fat Burning Furnace Review